Sunday, March 29, 2009

Hari Arafah

Hari Arafah merupakan hari berwukufnya para jemaah haji di padang Arafah bermula pada waktu tengahari 9 zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar pada 10 zulhijjah iaitu bersamaan dengan Hari Nahar. Wukuf di Arafah dilakukan setelah selesai melaksanakan ihram haji. Arafah terletak di luar Tanah Haram iaitu lebih kurang 12 batu atau 18 kilometer daripada kota Makkah al-Mukarramah. Namun para jemaah haji tidak semestinya berada di padang Arafah sepanjang masa tersebut kerana sahlah berhenti di situ walaupun sebentar. Wukuf di Arafah merupakan adalah rukun haji yang kedua tetapi merupakan rukun yang paling utama daripada rukun-rukun haji. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Dari Abdul Rahman bin Ya’mur r.a katanya, bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan “Haji itu ialah Arafah, barangsiapa datang pada malam tanggal 10 sebelum terbit fajar, beerti dia telah mendapatkan Arafah”. (Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan). Masa yang sebaik-baiknya untuk melakukan wukuf di Arafah ini ialah sebahagian daripada 9 zulhijjah dan sebahagian daripada malam 10 zulhijjah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Barangsiapa dapat berada di Arafah sebelum terbit fajar iaitu pada hari ke 10 zulhijjah maka dapatlah haji itu”.

No comments:

Post a Comment