Sunday, March 29, 2009

Keadaan di Arafah

Ketika berada di Arafah, kita dapat melihat persamaan diantara para jemaah haji yang datang ke Baitullahil Haram. Tidak ada seorang pun yang tertinggal bahkan dalam waktu yang sama mereka mengakhiri wukufnya bersamaan terbenamnya matahari pada Hari Arafah. Keadaan di padang Arafah adalah berbeza berbanding keadaan ketika para jemaah haji memasuki kota Makkah. Para jemaah haji memasuki kota Makkah dalam rombongan dan pada waktu yang berbeza. Ada diantara mereka yang datang dua minggu lebih awal sebelum haji dan ada pula yang datang sehari sebelum haji. Begitu juga pada waktu pulang jemaah haji berkenaan. Keadaan tempat tinggal mereka juga berbeza mengikut kemampuan para jemaah haji tersebut. Ada yang tinggal di hotel mewah dan ada pula yang tinggal di hotel yang murah. Bahkan ada juga yang tidur beralaskan pasir.


Namun di Arafah, keadaan tidak demikian. Semua jenis bangsa, warna kulit dan bahasa, berbagai pangkat dan jawatan adalah sama sahaja. Semua berkumpul dalam sebuah padang dan pada waktu yang sama. Pakaian pun sama dan seragam. Tidak ada bezanya yang kaya dengan yang miskin, yang pangkatnya tinggi dengan yang rendah dan sebagainya. Tidak ada rasa sombong dan angkuh pada diri mereka. Semua merendahkan diri mengharap keampunan dari Allah Azza wajalla yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Pada hari Arafah tidak ada seorang pun yang menunjukkan rasa bangga dan tinggi diri terhadap kemewahan, kekayaan, dan kelebihan diri berbanding orang lain. Semua merendahkan diri dihadapan yang Maha Esa dengan rasa takut kepada-Nya. Seolah-olah kebaikan itu tidak akan meliputi semua orang kecuali apabila semua bersikap tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.

Pada hari tersebut juga semua para jemaah haji akan berusaha untuk menyingkirkan semua rasa sombong dan angkuhnya serta sifat jahat dan dengkinya. Allah s.w.t akan melimpahkan segala maghfirah dan rahmat-Nya ke atas hamba-hamba-Nya pada hari tersebut. Pada hari itu para jemaah dapat menyedari bahawa apa yang dibangga-banggakan selama ini adalah kepunyaan Allah s.w.t.

Oleh itu, pada hari Arafah tersebut digalakkan kepada para jemaah sekalian untuk memperbanyakkan amalan ibadat, zikir dan doa memohon rahmat dan maghfirah daripada Allah s.w.t pemilik sekalian makhluk. Yang Maha Menguasai apa yang terdapat di langit dan di bumi. Setiap jemaah akan menadahkan dan mengangkatkan kedua tangan ke langit berdoa dengan penuh khusyuk, tawadduk dan penuh keikhlasan memohon diberikan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Di Padang Arafah inilah Allah akan menurunkan rahmat-Nya kepada para jemaah Arafah. Allah Taala juga akan melimpahkan maghfirah-Nya kepada mereka yang dengan ikhlas memohon keampunan. Sekiranya seseorang jemaah itu sudah bertekad untuk wuquf di Arafah untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan Allah s.w.t sudah berkenan untuk melimpahkan berbagai maghfirah dan rahmat-Nya maka hendaklah para jemaah itu tidak cuba untuk menimbulkan kembali kemurkaan Allah kepada mereka.

No comments:

Post a Comment